Sungguh. Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya. Satu perkataan
penting di sini iaitu usaha.
Jatuh. Siapa yang tak pernah jatuh? Sama ada
jatuh dalam belajar bertatih mahupun jatuh dalam kehidupan. Setiap daripada
kita pasti pernah jatuh dan pasti akan jatuh. Teringat adik-adik kecil yang
belajar bertatih. Suka aku perhatikan mereka berusaha berjalan kerana berjalan
itu sememangnya aktiviti “mesti” manusia. Mula-mula hanya dengan bergantung
untuk berdiri pada ibu atau bapa mereka, kemudian bergantung sambil melangkah
perlahan-lahan pada kerusi, meja, dinding dan sebagainya. Mereka jatuh kemudian
bangkit lagi meneruskan langkah. Akhirnya dengan dorongan ibu bapa mereka,
mereka mampu berjalan gagah. Indah. Indah sekali memikirkan telatah mereka yang
setiap daripada kita pernah lalui semasa kecil dahulu.
Kehidupan seterusnya diteruskan. Daripada
bayi menjadi kanak-kanak kecil yang riang dan ceria, kemudian menjadi remaja
sebelum usia menjengah dewasa. Dalam kehidupan ini, tiada jalan yang sentiasa
lurus. Semuanya penuh liku dan onak duri. Halangan dalam kehidupan mematangkan,
namun mengelak daripada duri kehidupan tidak akan memberi makna pada erti
bahagia. Masakan kita tahu apakah itu gembira tanpa merasa sedih? Aku cemburu.
Cemburu kepada mereka yang berjaya meniti jalan yang berduri. Cemburu kepada
mereka yang sentiasa berjaya. Cemburu kepada mereka yang sentiasa tampak bahagia.
Dalam erti kata lain, aku cemburu kepada mereka yang memiliki segala-galanya-
iman, taqwa, harta, anak soleh-solehah, keluarga bahagia, ilmu dan kebesaran
jiwa berserta kemuliaan akhlak.
Cemburuku positif. Biarlah aku cemburu.
Asal aku dapat pastikan cemburuku bersifat positif. Kadangkala aku cemburu pada
kesenangan orang lain tanpa mengetahui kesusahan yang mereka hadapi. Aku
cemburu pada kejayaan orang lain tanpa mengetahui bayaran usaha yang telah
ditunaikan. Cemburuku hanya pada kesenangan fizikal semata-mata tanpa mengkaji
kesusahan yang tersembunyi. Biarlah cemburu ini bersifat positif. Teruskan
cemburu. Semoga cemburu positif ini menjadi pemangkin kejayaan dunia akhirat.
Dari satu aspek, aku sebenarnya sangat
cemburu melihat kejayaan rakan-rakan di saat jatuh ini. Mereka belajar sama
naiknya dengan diriku tetapi mereka sentiasa lebih daripadaku. Sesungguhnya
Allah melebihkan sebahagian manusia atas sebahagian yang lain untuk menguji
hambanya. Sedih mengatakan aku bukanlah seorang yang “gifted” dan aku perlu
berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu khususnya dari sudut akademik.
Subhanallah. Aku sebenarnya sedang diuji dari sudut ini. Ya akulah insan yang
sering jatuh berkali-kali dalam tempoh 18 tahun kehidupan ini. Bayangkan hanya
usia sementah ini aku telah jatuh berkali-kali, apakah kejatuhan yang akan
datang mungkin bertimpa-timpa? Nauzubillah. Minta dijauhkan. Biarlah aku diuji.
“adakah kamu menyangka kamu sudah beriman
sedangkan kamu masih belum diuji”
Akhir kalam, biarlah kita jatuh berkali-kali
asalkan tidak pernah takut untuk bangkit kembali- mengimbau kenangan belajar
bertatih!

No comments:
Post a Comment